MAIDUGURI 3 Julai - Militan Boko Haram tidak menghiraukan kesucian bulan Ramadan apabila membunuh hampir 150 orang di beberapa kampung di timur laut negara ini, dengan melepaskan tembakan ke arah golongan lelaki dan kanak-kanak yang sedang menunaikan solat di masjid selain menembak wanita yang berada di dalam rumah.
Seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Kolo berkata, berpuluh-puluh anggota militan kumpulan itu menyerang dan membakar rumah penduduk di tiga perkampungan terpencil di negeri bergolak Borno pada petang kelmarin.
Menurutnya, kumpulan bersenjata itu turut menembak mati sekurang-kurangnya 97 orang di Kampung Kukawa, lokasi paling teruk diserang dan lima kanak-kanak yang merupakan anak pakciknya merupakan antara mangsa yang terkorban.
Seorang lagi saksi dikenali sebagai Alhaji Kolo berkata, lebih 50 militan terlibat dalam serangan itu apabila mereka mensasarkan beberapa buah masjid ketika penduduk sedang menunaikan solat Maghrib sejurus berbuka puasa.
“Mereka melepaskan tembakan secara rambang ke arah jemaah masjid yang kebanyakannya merupakan orang lelaki dan kanak-kanak.
“Malah, mereka tidak membiarkan mangsa yang terselamat apabila membakar hampir semua mayat mangsa, manakala sebahagian anggota militan menyerang rumah penduduk untuk membunuh golongan wanita,” katanya.
Seorang guru bahasa Arab di Kukawa, Malami Abdulkareem berkata, antara mangsa yang dibunuh adalah golongan kanak-kanak seawal usia empat tahun.
“Saya sendiri melihat mereka membunuh sembilan orang kanak-kanak di dua buah masjid,” katanya.
Dalam dua lagi serangan dua buah kampung berdekatan pekan Manguno, militan Boko Haram yang bergerak menggunakan van dan motosikal membunuh 48 orang dan mencederakan 11 yang lain
Anggota Parlimen tempatan, Mohammed Tahir berkata, kumpulan penyerang memilih mangsa dalam kalangan golongan lelaki sebelum membunuh mereka dan membakar dua kampung terbabit.
0 comments:
Post a Comment